>Encik tak adil dengan saya, yang susah-susah encik suruh saya buat, yang best-best encik berikan dia, saya sikit pun encik tak mahu ajarkan, tiba-tiba awek kartun meluahkan isi hatinya dengan senyuman terukir di bibir. Awek kartun berdiri di hadapan mejaku dengan membongkong sedikit sambil menupang dagu dengan kedua-dua belah tangannya. Awek kartun memang selamba orangnya namun inilah pertama kali dia meluahkan isi hatinya kepada ku.
Tersentak juga sewaktu mendengar luahan hatinya itu. Aku pandang wajahnya, dia masih tersenyum-senyum memandang ke wajahku. Agaknya dia cuba melihat reaksiku dengan apa yang baru diluahkannya sebentar tadi. Saya tahu saya tak lawa, dia cantik sebab tu encik lebihkan dia, saya cakap saja ni, kalau silap maafkan saya, tambah awek kartun lalu beredar ke mejanya semula.
Termenung aku petang itu memikirkan luahan isi hati awek kartun pagi tadi. Entah berapa lama telah disimpan dalam hatinya selama ini, aku pun tak tahu.
Kini soalan demi soalan bertingkah menerpa ke benak ku. Betul ke aku ni tak adil ? Betul ke aku lebihkan awek cun itu dari awek kartun seperti yang didakwanya itu. Sesekali aku menjeling awek kartun yang duduk di sebelah kiri mejaku ini. Dia buat tak tahu saja seperti tiada apa yang berlaku. Ku pandang awek cun di sebelah kanan mejaku, ewah dia perasan rupanya, lalu dia melemparkan senyuman padaku. Memang cun dan manis orangnya.
Ku pandang semula ke arah awek “cartoon”. Kenapa encik tengok saya macam tu, tiba-tiba dia bersuara dengan matanya masih memandang ke arah komputer. Oh dia perasan rupanya yang aku sedang memerhatikan dia bekerja. Tak ada apa-apa, cuma saya sedang memikirkan apa yang Lina cakapkan pagi tadi.
Abang saya balik dulu ye jumpa lagi esok, awek cun menjentik mejaku. Kemudian tergelek-gelek menuju ke pintu depan untuk pulang. Oh sudah pukul lima petang rupanya. Aku pun hampir tak sedar waktu untuk pulang sudah sampai.
Aku terus bersandar sambil jari jemariku bermain-main dengan pen. Lina ! nak cakap sikit. Awek kartun yang begitu tekun untuk menyiapkan kerjanya memandangku. Cakap le, saya dengar ni.
Saya nak minta maaf pada Lina, betul kata Lina tu. Selepas saya fikir-fikirkan apa yang Lina cakap pagi tadi, baru saya perasan yang selama ini saya tidak adil pada Lina. Maafkan saya ya. Lina senyum, senyumnya juga kelakar dan macam kartun. Tapi kali ini aku menerima senyuman itu seadanya. Aku ingin menjadi orang yang adil. Tidak lagi memandang rendah pada apa yang Lina ada. Walaupun Lina macam kartun tapi dia juga punya hati dan punya perasaan. Tentu dia juga ingin dihargai. Itulah rumusan dari apa yang ku fikirkan sejak dari tadi.
Aku membalas senyuman Lina itu. Aku juga tidak akan mengelarnya awek kartun lagi. Lina maafkan saya ke tidak ni, aku bertanya bila melihat Lina masih belum berkata sepatah apa pun lagi.
Saya tak kesah kalau encik tak adil, cuma saya pernah dengar kalau hari ni kita tak adil, nanti Tuhan akan balas tidak adil kita tu. Masa tu kita pelik kenapa orang buat aniaya pada kita sedangkan kita tak buat salah apa pun masa tu. Hari ni kita tak adil, esok orang lain pula akan berlaku tidak adil pada kita. Mukanya serius, kata-katanya selamba dan dia tunduk memandang jari jemarinya sewaktu mengucapkan kata-kata hikmah itu kepada ku.
Memang ianya kata-kata hikmah buatku. Belum pernah kawan sekerjaku seberani itu, seselamba itu menegurku. Awek cun dan kawan-kawan sekerjaku cuma mengiyakan apa yang ku katakan pada mereka selama ini.
Awek cun pula, senyum manisnya, geleknya, manjanya dan bijak berkata-katanya buatkan aku mengiyakan sahaja apa yang dipinta dari ku. Alasannya bila datang lambat pun aku mudah terima sedangkan kalau Lina yang lambat selalu ku marahi.
Ini semua kerana Lina macam kartun perangainya, wajahnya pun kurang cantik. Sikapnya pula terlalu selamba tak romantik langsung. Hampir saja dia tidak memiliki ciri-ciri wanita yang feminin.
Rupa-rupanya tanpa aku sedari, aku telah bersikap membezakan-bezakan rakan sekerja hanya kerana pembawakan dan rupa paras mereka. Aku telah tidak profesional rupanya. Seharusnya “judgment” aku terhadap rakan sekerja mestilah bersandarkan pada kualiti dan hal-hal berkaitan denga kerja sahaja. Kenapa pula rupa paras dan sikap pandai mengambil hati ku campurkan sekali. Ianya kesalahan yang telah aku lakukan selama ini tanpa aku sedari ianya salah dan telah mengecilkan hati Lina.
Saya tak kesah encik, kalau encik tidak adil, saya cuma nak ingatkan encik je, tapi kalau encik tanya saya maafkan ke tidak, saya maafkan walaupun sebetulnya saya tak marah pun pada encik. Lina bangun sambil menyorongkan kerusinya ke bawah meja. Saya balik dulu encik.
Terimakasih Lina. Janji tau esok Lina datang dengan pandangan baru terhadap saya. Saya akan ajar Lina dan saya juga akan adil sedaya yang boleh. Maafkan saya sekali lagi, aku senyum dan jelas keceriaan di wajah Lina.
Lina menuju ke pintu keluar. Jalannya tidak bergelek, Jalannya terlantun-lantun, kejong tidak feminin langsung, tapi aku sedar kini, dia berhati mulia dan aku pula mesti menghargai ketulusan hatinya menegur silapku selama ini.
Yang berani menyatakan yang benar itulah sepatutnya dibuat kawan. Persepsi ku terhadap Lina kini benar-benar telah teranjak paradigmanya.
Lina bukan lagi awek kartun, malah kalau dia sudi, aku ingin mempelawanya minum petang bersama. Masih banyak lagi yang ingin ku tanyakan darinya.