>Iffah Dalam Perspektif

>Setiap orang ada perspektifnya tersendiri terhadap sesuatu atau orang lain dan tentunya orang lain juga ada perspektifnya tersendiri terhadap kita. Masing-masing dengan perspektifnya sendiri terhadap sesuatu yang berlaku dan yang dilihatnya.

Dalam hal keujudan perspektif pula, ada yang dicipta dan ada yang ujud tanpa disengajakan atau tanpa dirancang. Ada yang ujudnya tanpa diharapkan dan ada yang ujudnya dengan niat untuk mencapai sesuatu.

Bila sebuah kereta mewah berhenti didepan sebuah warung dan turun seorang separuh umur lengkap berjaket gaya orang besar-besar, perspektif pertama biasanya, oh orang kaya ni, bila dilihat pada pakaiannya, datuk agaknya ni, tidak pun bisnesman. Bila saja orang tadi memberi salam, terus timbul perspektif baru,baguslah dia ni,kaya tapi tak sombong. Inilah biasanya perspektif yang timbul dari penampilan seseorang yang baru kita lihat.

Samada dia benar-benar orang kaya atau dia sebetulnya seorang usahawan yang baru meningkat naik dan memerlukan penampilan sebegitu agar menambah keyakinan orang padanya hanya kemudian diketahui apabila dia mula berborak dan beramah dengan yang hadir sama di warung tersebut. Tentunya sekali lagi perspektif orang terhadapnya berubah selepas mendengar atau berborak itu.

Bukanlah baik dan tidaklah perlu untuk kita menyangka buruk baik niat seseorang dengan gaya dan penampilannya,cuma bagi tujuan menceritakan tentang perspektif ini, tidak semua yang kita lihat dan yang kita dengar sebegitu adanya.

Seorang yang gemar bercerita tentang agama tentu dianggap warak begitu juga yang suka bercerita tentang ilmu kebatinan dan hal persilatan tentu dianggap handal dan berilmu walau pun dia sekadar bercerita berdasarkan cerita yang dia sendiri dengar dari orang lain.

Ada juga orang yang suka dirinya dilihat oleh orang lain sebagai orang yang tidak tahu apa-apa. Mungkin atas sebab sikap suka merendah dirinya atau difikirkannya tidak ada keperluan bercerita pada orang yang tidak tahu menghargai jenis bakat yang dia ada. Orang seperti ini akan mencipta atau terlahir dengan sendiri dari cara pembawakannya akan perspektif orang lain terhadapnya yang penuh dengan keadaan serba tak tahu. Ahh !! kau ni tu pun tak tahu. Orang seperti ini tidak marah jika dikata orang sebegitu malah dia lagi suka kerana hajatnya untuk merendah diri telah tercapai.

Namun ada juga yang suka dilihat orang dirinya hebat dan berketerampilan mungkin untuk memimpin dan sebagainya, maka dia mencipta perspektif di mata orang lain agar dirinya kelihatan hebat. Ini mungkin kerana cita-cita politiknya atau sekadar mahu dirinya dihargai dan menonjol di dalam masyarakat dia berada.

Seorang gadis tentu mudah percaya dan menganggap teman lelakinya seorang yang baik dan berbudi bahasa tinggi jika selalu menasihatkan dirinya agar selalu hormat pada orang tua,menjaga cara berpakaian dan jangan tinggal solat. Andai temannya itu seorang kasanova tentulah malang bagi gadis tersebut kerana terpedaya dengan lakunan hidup seorang kasanova akibat dari mudahnya dia mengambil perspektif terhadap temannya itu berdasarkan cakap-cakap dan penampilan temannya itu. Andai jujur temannya itu, tentulah gadis tersebut seorang yang bertuah dan bernasib baik.

Selain dari penampilan diri dan kemahiran berkata-kata,sikap mengambil berat juga mampu menimbulkan berbagai-bagai perspektif samada dari orang yang dirinya diambil berat itu mau pun perspektif dari masyarakat atau orang di sekeliling. Tentulah kesannya juga berbagai-bagai. Ada yang menghargainya dan ada yang dengki dan cemburu bergantung pada hati yang melihat itu.Dalam hal sebegini, orang yang suka mengambil berat itu haruslah lebih berhati-hati dalam memberi perhatian agar dapat mengurangkan tohmahan atau pun perspektif negatif. Masyarakat pula harus juga berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam perangkap penyakit hati seperti buruk sangka,hasad dan dengki. Perkara sebegini selalu berlaku dalam hal-hal politik dan urusan kebajikan bagi yang suka membantu sesama anggota dalam masyarakat.

Jika disimpulkan,apa yang kita lihat dan dengar bukanlah semestinya begitu adanya. Ada yang benar ada yang menipu. Ada yang berlakun demi mencapai hajatnya dan ada yang jujur dan ikhlas. Tidak perlulah kita buruk sangka pada sesiapa,cuma sikap berhati-hati atau iffah sememangnya menjadi tuntutan dalam agama biar pun jarang ditekankan perkataan iffah itu semasa kita mengaji disekolah agama sewaktu kita masih kanak-kanak lagi. Iffah dalam berpolitik, iffah dalam mencari kawan dan begitu juga dalam menambah ilmu agama agar tidak tersalah jalan.

Iffah adalah sebahagian dari sifat mahmudah yang mesti kita amalkan dalam mengambil perspektif terhadap perkara yang kita lihat mau pun kita dengar,bukan setakat iffah dalam hal makan dan minum sahaja seperti selalu disebut orang.

About pepcoy

43 Male Married malaysia
This entry was posted in Hati Bicara Akal Terfikir. Bookmark the permalink.

Leave a comment